Perbahasan YB Wong Hon Wai (Ahli Parlimen Bukit Bendera) semasa bacaan kedua Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020 pada 24/8/2020.
----------------
Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya turut ingin menyertai perbahasan berkenaan dengan Rang Undang-undang Majlis Keselamatan Negara (Pindaan) 2020.
Tuan Yang di-Pertua, seperti yang kita sedia maklum bahawa akta ibu Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 antaranya memaktubkan prosedur-prosedur pengisytiharan kawasan keselamatan. Tadi pembahas-pembahas sebelum ini telah mengutarakan bahawa memperbetulkan apa yang tidak betul sebelum ini.
Akan tetapi, saya ingin membangkitkan satu perkara iaitu kalau kita meneliti tentang seksyen 6, keanggotaan Majlis Keselamatan Negara, Perdana Menteri sebagai Pengerusi, kemudian Timbalan Pengerusi yang akan dipinda melalui rang undang-undang ini, Menteri bertanggungjawab pertahanan, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Ketua Setiausaha Negara, Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara. Di bawah seksyen 8(3), kuorum Majlis Keselamatan Negara adalah lima.
Akan tetapi, saya nampak ada satu lacuna. Kalau dari segi legislatif, satu lacuna dari segi ini. Ini kerana apabila berlakunya keadaan seperti hanya ada caretaker prime minister ataupun apabila selepas pilihan raya sebelum tubuhnya Kabinet, maksudnya itu kita ada satu tempoh di mana tiada Menteri Pertahanan, tiada Menteri Dalam Negeri, tiada Menteri Komunikasi dan Multimedia dan Majlis Keselamatan Negara tidak boleh berfungsi. Apabila Majlis Keselamatan Negara tidak boleh berfungsi, bagaimana seksyen 18(1) boleh dilaksanakan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan kawasan keselamatan?
Walaupun kemungkinan perkara ini berlaku adalah kecil tetapi ia akan berlaku. Terdapat lacuna iaitu sebelum penubuhan Kabinet, tidak ada Menteri dan tidak ada kuorum. Tidak ada kuorum dalam Majlis Keselamatan Negara. Perkara ini tidak timbul sebelum ini kerana sebelum wujudnya Akta Majlis Keselamatan Negara, Yang di-Pertuan Agong di bawah Artikel 150 Perlembagaan Persekutuan boleh mendeklarasikan kawasan darurat atas nasihat Perdana Menteri yang bermaksud termasuk juga caretaker Prime Minister.
Bagaimanakah pindaan ini ada satu lacuna di sana yang saya nampak besar dan perlu difikirkan. Ini kerana sepatutnya satu undang-undang yang baik perlulah meneliti segala keadaan. Yang sebaiknya, satu anggota Majlis tidak menentukan nama-nama Menteri ataupun melalui gazet dengan jawatan-jawatan tertentu. Saya rasa ia memerlukan satu penjelasan daripada Menteri.
Lagi satu perkara yang saya ingin bangkitkan ialah tentang prinsip federalism di Malaysia. Federalism Malaysia ialah sebuah negara persekutuan dan di bawah Majlis Keselamatan Negara, saya memang faham bahawa di bawah jadual legislatif, hal ehwal pertahanan keselamatan adalah di bawah Persekutuan. Akan tetapi, apakah peranan kerajaan negeri?
Apakah pandangan kerajaan negeri dalam perkara ini perlu diambil perhatian?
Ini kerana kuasa di bawah Majlis Keselamatan Negara, walaupun dipinda, tidak menggariskan peranan Ketua Menteri atau Menteri Besar di mana kawasan keselamatan itu diisytiharkan.
Saya faham bahawa di bawah seksyen 10, Majlis boleh mengundang orang lain untuk menghadiri Majlis tetapi ia hanya boleh mengundang. Dia tidak mewajibkan Majlis Keselamatan Negara untuk menyenaraikan kerajaan negeri dalam keanggotaan Majlis ini. Saya rasa itu satu perkara yang perlu kita berikan perhatian.
Parliamentary oversight iaitu saya ambil maklum bahawa melalui pindaan ini juga, Majlis Keselamatan Negara walaupun masih mempunyai kuasa seksyen 42 di bawah peraturan- peraturan, Majlis Keselamatan Negara boleh membuat peraturan-peraturan bagi maksud menjalankan atau menguatkuasakan peruntukan akta ini untuk mengawal pergerakan, menetapkan apa-apa aktiviti yang dilarang dan sebagainya adalah kuasa yang amat besar.
Apakah peranan kerajaan negeri? Apakah peranan Majlis Keselamatan Negeri dalam struktur ini? Saya rasa ada kekurangan dari segi itu dan saya meminta penjelasan Menteri. Sekian, terima kasih.